Saturday 14 January 2012

Bersedia Menerima Kenaikan Insuran

Berita ini sepatutnya menyedarkan kita bahawa akan berlaku kenaikan insuran kenderaan bermotor.

KUALA LUMPUR: Penyelarasan kadar premium tarif motor akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 16 Januari 2012, kata Bank Negara Malaysia (BNM). BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini merupakan pelarasan kali pertama dibuat kerana kadar premium ini tidak pernah dikaji semula dalam masa lebih 30 tahun lalu.
Add caption

Bank pusat berkata pelarasan premium itu adalah dalam jumlah yang kecil dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun.Bagi perlindungan pihak ketiga, motorsikal yang berkapasiti 110cc akan mengalami kenaikan premium antara RM1-RM3.50 setahun (maksimum 30 sen sebulan) dalam jangka masa empat tahun.

Bagi kereta persendirian yang berkapasiti 1,400cc, pelarasan premium adalah antara RM6-RM34 setahun (maksimum RM2.80 sebulan) bagi jangka masa yang sama.Bagi kenderaan perdagangan seperti teksi luar bandar dan bas, kesan daripada pelarasan premium terhadap penumpang adalah kecil, kurang daripada 10 sen bagi setiap penumpang dan setiap perjalanan.

BNM memberi jaminan implikasi terhadap orang ramai dan perniagaan adalah kecil.Menurut BNM, pelarasan kadar premium tarif motor itu akan dikaji semula secara berkala bagi memastikan kadar premium yang diselaraskan terus mencerminkan pengalaman tuntutan.Kajian semula tarif itu merupakan sebahagian daripada Rangka kerja Perlindungan Motor Baharu yang dirumuskan untuk menangani isu struktur dalam sektor insurans motor dan sektor takaful.

Rangka kerja itu akan merintis jalan ke arah pelonggaran tarif sektor insurans motor pada 2016, iaitu apabila kadar premium akan dibezakan lagi mengikut profil risiko kenderaan individu dan lebih berpatutan kepada pemilik kenderaan kerana kenderaan yang mempunyai pengalaman tuntutan yang lebih baik akan menikmati kadar premium yang lebih wajar berbanding dengan pemilik kenderaan lain yang mempunyai profil risiko lebih tinggi.

BNM sebelum ini berkata tarif itu yang tidak dikaji semula selama lebih 30 tahun menjadi faktor utama kesulitan yang dihadapi orang ramai sejak beberapa tahun ini.Ketika premium tidak diselaraskan, terdapat peningkatan ketara dalam pemilikan kereta kepada kira-kira 19 juta setakat ini, kadar kemalangan dan tuntutan, kata bank pusat itu.BNM berkata, rangka kerja itu akan membabitkan pelaksanaan segera langkah-langkah kritikal bagi meningkatkan kecekapan dalam penyelesaian tuntutan.

Peningkatan itu akan mengurangkan dengan ketara purata jangka masa penyelesaian tuntutan kepada enam hingga 18 bulan daripada tempoh satu hingga lima tahun sekarang.Bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat dan manfaat daripada rangka kerja ini, terutamanya penambahbaikan proses penyelesaian tuntutan motor, BNM dan industri insurans akan terus memberikan maklumat tentang isu insurans motor kepada orang ramai menerusi program kesedaran dan capaian pengguna yang sedang dijalankan.

BNM berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai rangka kerja itu boleh menghubungi bank pusat di TELELINK : 1-300-88-5465 atau layari www.insuranceinfo.com.my.
Pertanyaan juga boleh dikemukakan sama ada kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) atau penginsurans individu, kata bank pusat itu. – BERNAM

No comments:

Post a Comment